KOTA KINABALU, SABAH – Individu yang telah melengkapkan dos vaksinasi mereka merupakan kumpulan tertinggi penghidap COVID-19 baharu kelmarin (27 Sept).
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mereka seramai 309 orang dari 751 kes yang dicatatkan kelmarin.
Dalam pada itu, 13 bayi berumur setahun ke bawah dan 60 orang kanak-kanak berumur setahun hingga lima (5) tahun juga dalam senarai penghidap berkenaan.
Seramai 81 warga emas berumur 60 tahun ke atas juga dikesan sebagai pesakit.
“Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 366 kes atau 48.7 peratus…
”Jumlah pesakit tertinggi iaitu 454 kes atau 60 peratus dari kumulatif berada dalam Kategori 2 manakala terdapat empat (4) kes dalam Kategori 5,” katanya.
Setakat semalam, seramai 72 peratus (72%) dari jumlah penduduk dewasa Sabah telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin manakala 61 peratus (61%) lagi sudah lengkap dua dos.
“Penduduk Sabah yang menerima vaksin pada 26 September adalah seramai 24,319 orang. Daripada jumlah ini, seramai 9,246 orang adalah remaja,” Masidi berkata.