TAWAU: Cubaan seorang lelaki menyimpan dan mengedar air ketum di rumah gagal apabila taktik tersebut berjaya dikesan oleh pihak polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 30-an ditahan ketika sedang berehat di ruang tamu rumahnya di kawasan perumahan rakyat, Taman Sri Semarak oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui sejumlah 21 botol plastik lutsinar 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disembunyikan dalam dua buah peti sejuk berasingan di ruang dapur kediaman terbabit.
“Siasatan awal turut mendapati kandungan cecair tersebut dipercayai berisi air ketum dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 31.2 liter yang dianggarkan bernilai RM350,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Ujarnya, suspek bersama barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
Tambah ACP Jasmin, suspek turut mengaku merebus sendiri air ketum tersebut sebelum menjualnya kepada penagih tempatan pada harga RM20 sebotol.
Tambahnya, hasil ujian saringan awal ke atas suspek didapati negatif dadah, manakala semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.






