20 Kementerian, Agensi Terima Bendera Sabah

20 Kementerian, Agensi Terima Bendera Sabah

0
SHARE
Peto
Peto (dua dari kanan) menyampaikan bendera Sabah kepada wakil daripada Kementerian Kewangan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 20 kementerian dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menerima Bendera Sabah sempena sambutan Hari Sabah 2024 pada 31 Ogos depan.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim berkata, penyerahan bendera itu merupakan satu upacara yang signifikan untuk memperkuatkan lagi sambutan yang julung-julung kali dirai oleh rakyat di negeri ini.

“Hari Sabah adalah satu hari yang ramai orang masih tidak tahu malah ada dalam kalangan ahli politik yang jadikan isu ini sebagai satu perdebatan.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu staf kita, komuniti di kampung-kampung untuk mengibarkan bendera Sabah dan saya sangat setuju kempen ini dibuat bukan secara sentrik tetapi menyeluruh.

“Tugas kita adalah untuk menerangkan kepada orang awam yang Hari Sabah ini merupakan hari yang bersejarah dan momen yang luar biasa, yang patut kita sokong dan beritahu kepada generasi kita yang seterusnya.

“Acara penyerahan bendera pada hari juga adalah untuk kita sama-sama sedar yang kedua-dua program kita pada pagi dan petang pada 31 Ogos nanti adalah penting.

“Terima kasih atas keputusan kerajaan untuk membetulkan fakta dan sejarah sehingga akhirnya Hari Sabah dapat diraikan secara lebih terbuka,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah Sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di Wisma Pertanian di sini, pada Khamis.

Antara yang menerima bendera adalah Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Ko-Nelayan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Perbandaran Penampang.

Hadir sama, Setiausaha Tetap (SUT) MAFFI, Leonard Stephen Poyong dan Timbalan SUT (Perikanan dan Ternakan) MAFFI, Maria @ Marcella David Edick. — JABATAN PENERANGAN SABAH