BELURAN, SABAH – Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 dapat menyemai semangat patriotik di kawasan luar bandar.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri berkata, konvoi KMJG berjaya membawa semangat cintakan negara bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.
“Daerah Beluran merupakan daerah luar bandar jadi bererti konvoi KMJG ini tidak kira untuk berada hanya di kawasan bandar tetapi juga di pinggiran bandar dan nun jauh di luar bandar adalah merupakan sasaran untuk konvoi berada dan berkunjung.
“Jadi bagi saya mewakili pihak kawasan yang berada di luar bandar sudah pastinya konvoi ini membawa makna yang sangat tinggi nilainya.
“Semangat patriotisme itu tidak hanya disemai di mana kepadatan penduduknya tinggi seperti di bandar, tetapi juga penduduk yang berada nun jauh di luar bandar juga adalah merupakan sama-sama di tingkatkan patriotisme nya agar kecintaan kepada negeri dan juga negara ini terus disemai di kalangan masyarakat terutamanya bagi kita yang berada di luar bandar.
“Pada saya untuk lokasi KMJG ini sudah pastinya ianya ditambah baik setiap tahun untuk lokasi yang lebih jauh seperti tahun ini.
“Ada beberapa kawasan seperti kawasan pulau dikunjungi oleh konvoi KMJG jadi saya pasti lokasi di luar bandar akan menjadi tumpuan nanti oleh kembara ini untuk menjadikan persinggahan khususnya di kawasan yang terpencil,”kata Samad semasa ditemui media selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat daerah Beluran di Pasar Tamu Beluran.
Beliau turut berharap semua pihak akan sama-sama memeriahkan bulan kebangsaan ini disambut dengan semangat patriotisme dan keharmonian.
Turut hadir, Pegawai Daerah, Roger Apolonius, Ketua Polis Daerah, Supritendan Hasan Majid dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga ketua konvoi KMJG 2024. — JABATAN PENERANGAN SABAH