86 Premis Penginapan Tanpa Lesen di Semporna Diberi Tempoh Tiga Bulan

86 Premis Penginapan Tanpa Lesen di Semporna Diberi Tempoh Tiga Bulan

0
SHARE

SEMPORNA: Sebanyak 86 premis penginapan di Daerah Semporna yang masih beroperasi tanpa lesen diberi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan permohonan pelesenan masing-masing atau berdepan tindakan penguatkuasaan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Rizal berkata ketetapan itu dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Khas (Taskforce) KePKAS bagi menangani isu pelancongan di Semporna, yang bertujuan memperkukuh keselamatan serta keyakinan pelancong.

“Daripada 190 premis penginapan yang dikenal pasti beroperasi di Semporna, hanya 45 telah dilesenkan, 59 masih dalam proses permohonan, manakala 86 langsung belum mengambil sebarang tindakan.

“Semua premis tidak berlesen ini diberi tempoh tiga bulan untuk mematuhi keperluan perundangan,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan mematuhi arahan selepas tempoh tersebut akan menyebabkan tindakan lanjut diambil melalui mekanisme penguatkuasaan bersepadu oleh agensi berkaitan.

Dalam masa sama, Dr Andi berkata KePKAS akan menyelaraskan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan pelancongan melibatkan pelbagai agensi, sebelum menerbitkannya secara terbuka melalui laman sesawang rasmi kementerian bagi memastikan pematuhan menyeluruh oleh pengusaha industri.

“KePKAS juga akan melaksanakan operasi bersepadu dalam masa terdekat bagi memastikan pematuhan terhadap pelesenan, SOP keselamatan dan tahap keselamatan pelancong,” katanya.

Beliau menegaskan tahap keselamatan di Daerah Semporna kekal terjamin dan terkawal, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengekalkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.