KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menegaskan komitmennya untuk menutup jurang antara bekalan dan permintaan elektrik serta memperkukuh kestabilan tenaga jangka panjang di Pantai Timur Sabah melalui pelan pembangunan menyeluruh dan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, usaha ini dilaksanakan secara kolaboratif dengan Kerajaan Negeri menerusi mandat Majlis Tenaga Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri.
“Kami melaksanakan pelbagai inisiatif secara serentak daripada penyelesaian interim segera, menaik taraf grid sedia ada, mempercepat projek Southern Link, hinggalah pembangunan tenaga boleh diperbaharui bagi memenuhi keperluan semasa dan membina asas tenaga mampan untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Antara langkah segera termasuk meningkatkan kebolehpercayaan sambungan Grid Timur–Barat dan memastikan loji penjanaan diesel serta MFO di Pantai Timur beroperasi pada tahap optimum bagi mengelak gangguan berulang.
Bagi jangka sederhana, loji janakuasa LNG berkapasiti 160MW akan dibina di Tawau dan dijangka siap menjelang 2028 sebagai penyelesaian interim menampung keperluan tenaga kawasan tersebut.
Sementara itu, pembangunan Southern Link 275kV dari Sipitang ke Tawau menjadi projek utama jangka panjang.
Fasa pertama (Sipitang–Padas) bernilai RM200 juta sedang berjalan dan dijangka siap 2028, manakala Fasa kedua (Padas–Tawau) bernilai RM1.4 bilion sedang diusahakan untuk pembiayaan persekutuan dengan sasaran siap menjelang 2030.
Kerajaan Negeri dan ECoS turut mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui melalui projek solar 100MW yang sedang dimuktamadkan, projek hidroelektrik 141MW di Sungai Segama, serta perancangan tambahan solar 250MW dan sistem penyimpanan tenaga (BESS) 200MW/400MWh.
Selain itu, projek biotenaga dan geoterma 100MW di Tawau akan dipertingkat, manakala teknologi tenaga nuklear turut dikaji sebagai pilihan jangka panjang.
ECoS menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kestabilan tenaga bukan sahaja di Pantai Timur tetapi juga bagi keseluruhan negeri Sabah.






