Kerajaan Negeri Perkasa Industri Halal Sabah, Buka Peluang ke Pasaran Global

Kerajaan Negeri Perkasa Industri Halal Sabah, Buka Peluang ke Pasaran Global

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh industri halal sebagai pemacu ekonomi baharu negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa yang bernilai berbilion dolar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, industri halal kini menjadi salah satu penyumbang utama dalam perdagangan global.

Beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi, sektor swasta dan komuniti usahawan untuk berganding bahu membina ekosistem halal yang kukuh di Sabah.

“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan sokongan menyeluruh, produk usahawan Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar negara,” katanya dalam ucapan perasmian Program MyHalal Day Sabah 2025 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, pada Ahad.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif.

Kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memperuntukkan RM5,000 dalam bentuk peralatan asas kepada usahawan kotej dan mikro yang mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam anjuran MUIS Halal Hub.

Hajiji menegaskan bahawa pensijilan halal bukan sekadar simbol kualiti dan kebersihan, tetapi kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang pesat di dalam dan luar negara.

“Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat global. Justeru, industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan dilindungi menerusi MUIS Halal Hub,” jelasnya.

Program MyHalal Day yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu memberi manfaat besar kepada usahawan melalui pelbagai aktiviti seperti klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal serta perkongsian perbankan mengenai bantuan pensijilan halal.

Hajiji berharap program ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan halal yang berdaya saing serta mengangkat nama Sabah sebagai antara pemain utama industri halal serantau.

“Program sebegini meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil halal dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas bagi memperkukuh daya saing produk,” katanya.