RANAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Timbua sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas dalam kejadian tersebut.
Kebakaran berkenaan memusnahkan beberapa kediaman, melibatkan seramai 54 mangsa daripada 11 keluarga, terdiri daripada 37 dewasa dan 17 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
Bantuan disalurkan susulan inisiatif kutipan sumbangan yang digerakkan oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Ranau sejurus insiden berlaku, yang berjaya mengumpul pelbagai keperluan asas dalam tempoh singkat.
Antara bantuan yang disampaikan termasuk pakaian, perabot asas serta bekalan makanan dan minuman bagi membantu meringankan beban mangsa.
Sumbangan turut disalurkan oleh masyarakat setempat merangkumi bantuan kewangan dan barangan keperluan asas, mencerminkan semangat kebersamaan tinggi dalam kalangan penduduk.
Penyampaian bantuan bagi pihak Masidi diwakili Pegawai Khas, Shahrin Mujin bersama Pegawai Khas Kebajikan ADUN N.37 Karanaan, Sujani Gipul, dengan turut dibantu Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat.
Masidi yang juga ADUN Karanaan menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa serta berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu mereka bangkit semula selepas ditimpa musibah.
“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kejadian ini. Kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menghargai usaha proaktif Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Ranau serta masyarakat setempat yang pantas menggerakkan bantuan, selain memuji kerjasama pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang bersama-sama menunjukkan solidariti tinggi dalam membantu mangsa.






