Ada Kemungkinan Pemberian Khas Dinaikkan Tahun Depan, Bergantung Keadaan Ekonomi Negara

Ada Kemungkinan Pemberian Khas Dinaikkan Tahun Depan, Bergantung Keadaan Ekonomi Negara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, tidak menolak kemungkinan peningkatan pemberian khas kepada Sabah dalam Bajet tahun depan, namun keputusan itu bergantung kepada keadaan ekonomi dan kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata, isu tuntutan 40 peratus hak Sabah yang hangat dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini telah mendapat perhatian kerajaan termasuk di peringkat Kabinet.

“Kita ucapkan terima kasih kepada semua Ahli DUN yang membincangkan perkara ini. Kita mendengar dan meneliti, malah saya sendiri telah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai isu ini,” katanya kepada media selepas Majlis Sumbangan Jemaah Haji Parlimen Sepanggar, hari ini.

Menurut beliau, perkara berkenaan turut dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu lalu untuk penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perdana Menteri telah membawa perkara ini dalam perbincangan Kabinet dan kita akan teliti untuk Bajet tahun hadapan. Namun kita juga perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kedudukan fiskal negara,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan berharap keadaan ekonomi akan bertambah baik bagi membolehkan peningkatan pemberian khas kepada Sabah direalisasikan.

“Kita harap dapat melepasi krisis ekonomi ini. Jika keadaan mengizinkan, saya fikir tidak ada masalah untuk kita menambah pemberian khas kepada Sabah,” katanya.