SANDAKAN: Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meluluskan peruntukan sebanyak RM7.2 juta untuk keperluan fasiliti kesihatan di sekitar daerah ini bagi memastikan penyampaian kesihatan negeri ini terus diperkukuh tanpa ada kelompok yang terpinggir.
Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi untuk Klinik Kesihatan Sandakan; Hospital Duchess of Kent (HDOK); Klinik Kesihatan Sibuga; Klinik Desa Gum-Gum; Klinik Kesihatan Manila; Klinik Kesihatan Nunuyan Laut; serta Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Sandakan.
“Suntikan dana ini bukan sekadar angka, tetapi ia adalah manifestasi komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk merapatkan jurang fasiliti antara bandar dan kawasan luar bandar.
“Antara pengisian utama peruntukan ini merangkumi kelulusan sebanyak RM1 juta setiap satu, buat HDOK dan Klinik Kesihatan Sandakan.
“Dana ini akan difokuskan kepada kerja-kerja pembaikan, naik taraf infrastruktur kecil, serta perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan bagi menggantikan kelengkapan yang telah uzur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad selepas menamatkan lawatan kerja dua hari di Sandakan.






