1,195 Jemaah Haji Sabah, Labuan Tunai Haji Musim 1447H/2026M

1,195 Jemaah Haji Sabah, Labuan Tunai Haji Musim 1447H/2026M

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 1,195 jemaah haji dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M, melibatkan 507 jemaah lelaki dan 688 jemaah wanita.

Daripada jumlah itu, seramai 142 bakal haji berlepas dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin, bagi menjalani proses Makkah Route sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Majlis dimulakan dengan alunan zikir Asma’ul Husna serta bacaan doa yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan Lembaga Tabung Haji dan perutusan khas Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada para jemaah.

Acara kemudian diteruskan dengan sesi bersalaman bersama para jemaah selepas laungan azan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab serta Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan Lembaga Tabung Haji, Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.