PENAMPANG: Penampang Watcher menggesa Majlis Perbandaran Penampang memberi penjelasan berhubung tindakan mengeluarkan saman parkir terhadap kenderaan yang didakwa tidak diletakkan di petak parkir yang digazetkan.
Jurucakapnya, Edwin Jomiji mempersoalkan tindakan tersebut kerana kenderaan terlibat dilaporkan hanya diletakkan di bahu jalan tanpa menghalang lalu lintas atau pejalan kaki.
Beliau turut mempersoalkan asas undang-undang saman berkenaan serta tujuan penyediaan petak parkir rasmi jika kawasan lain turut dikenakan tindakan.
Menurutnya, terdapat juga dakwaan penguat kuasa yang mengeluarkan saman bukan kakitangan majlis, sebaliknya syarikat luar yang diberi kuasa, sekali gus menimbulkan persoalan dari sudut perundangan.
Selain itu, Penampang Watcher mendakwa wujud aduan mengenai sikap penguat kuasa, termasuk kenyataan tidak wajar yang menimbulkan persepsi bahawa saman dikeluarkan untuk tujuan kutipan.
Sehubungan itu, mereka menggesa majlis menyiasat perkara berkenaan, menjelaskan garis panduan penguatkuasaan serta menangguhkan saman parkir sehingga kemudahan parkir mencukupi disediakan.






