KOTA KINABALU: Empat penjawat awam antara tujuh individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegiatan rasuah membabitkan sindiket mengimport ayam sejuk beku secara tidak sah menerusi sebuah pelabuhan di negeri ini.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 15 Ogos itu dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Rabu selepas membenarkan permohonan SPRM.
Kesemua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah bagi membolehkan ayam sejuk beku yang diimport tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa dilepaskan masuk.
Penahanan itu susulan kejayaan operasi ‘Op Chick’ yang dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah pada Selasa.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 10 kontena berisi ayam sejuk beku disita selepas dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dari China dan Poland.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan serta permohonan reman terhadap kesemua suspek terbabit.
Menurut beliau, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan, termasuk pihak yang dipercayai terbabit dalam kegiatan import tidak sah serta unsur rasuah.






