“Ketika ditanya tujuan kemasukan, beliau maklumkan datang untuk ‘jalan-jalan dan jumpa kawan’”...

“Ketika ditanya tujuan kemasukan, beliau maklumkan datang untuk ‘jalan-jalan dan jumpa kawan’” – Imigresen Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli perniagaan kontroversi, Datuk Albert Tei gagal mengemukakan dokumen mengesahkan keperluan dirinya menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof bahawa semakan mendapati Notis Amaran Sabah (NAS) terhadap Albert Tei masih berkuat kuasa ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dari Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang semalam.

Menurutnya, notis dikeluarkan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 itu hanya membenarkan kemasukan Albert Tei sekiranya ada panggilan rasmi daripada mahkamah untuk menghadiri perbicaraan.

“Ketika ditanya tujuan kemasukan, beliau memaklumkan datang untuk ‘jalan-jalan dan jumpa kawan’. Tiada sebarang dokumen seperti surat panggilan mahkamah dikemukakan.

“Jadi tindakan menyekat kemasukannya sah mengikut undang-undang kerana beliau gagal menunjukkan bukti perlu hadir ke mahkamah,” katanya memetik FMT.

Sharifah menambah, Albert Tei dibenarkan memasuki Sabah hanya jika dapat membuktikan beliau dipanggil menghadiri prosiding mahkamah.

Semalam, Albert Tei mendakwa dirinya dihalang memasuki Sabah sehari sebelum dijadual hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bagi sebutan semula kes pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan lesen mencari gali mineral.

Pada 22 Sept lalu, Albert Tei turut dihalang sebaik tiba di LTAKK, sebelum dibenarkan memasuki Sabah selama dua hari bagi menghadiri prosiding mahkamahnya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 November depan untuk sebutan pengurusan kes Albert Tei, selepas menolak permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang dikemukakan pasukan pembelaan.

Albert Tei gagal hadir ke mahkamah selepas mendakwa tidak dibenarkan masuk ke Sabah, dan peguamnya, Edward Paul, memohon DNAA atas alasan larangan kemasukan itu merupakan larangan sepenuhnya (total ban).

Namun, Hakim Jason Juga menolak permohonan tersebut dan mengarahkan supaya notis pendengaran dikeluarkan.

Mahkamah turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan boleh memohon agar tertuduh menghadiri prosiding akan datang melalui Zoom.

Selain itu, hakim turut mengarahkan pihak pendakwaan berurusan dengan Jabatan Imigresen bagi membolehkan tertuduh masuk ke Sabah untuk perbicaraan kes ini.

Pada 30 Jun lalu, Albert Tei mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua wakil rakyat berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Beliau didakwa memberi RM150,000 dan RM200,000 masing-masing kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Andi Suryady Bandy, serta ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Kedua-dua ADUN berkenaan turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah tersebut.