Taman Botani Tun Fuad Stephens Dibuka Semula Minggu Depan

Taman Botani Tun Fuad Stephens Dibuka Semula Minggu Depan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan bahawa Taman Botani Tun Fuad Stephens di Bukit Padang akan dibuka semula kepada orang awam mulai Isnin, 27 Oktober, selepas penilaian keselamatan menyeluruh terhadap kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

Pemeriksaan pra-pembukaan melalui program “Brisk Walk” mendapati aktiviti pembinaan utama telah tamat, dengan kerja semasa hanya tertumpu kepada kerja-kerja kekemasan.

DBKK memaklumkan laluan joging dan hiking utama kini dibuka, kecuali Trek Hiking No. 2 yang masih ditutup berikutan kerja aktif berhampiran Pusat Botani.

Taman akan beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 7 malam, manakala beberapa kawasan seperti Pusat Botani, Commercial Plaza, Boardwalk, Lake Walk, Conservatory Park, Bamboo Corner, dan Herb Garden kekal ditutup atas sebab keselamatan.

DBKK menegaskan sebarang pencerobohan ke kawasan larangan adalah dilarang dan pihak berkuasa tidak bertanggungjawab terhadap kemalangan atau kecederaan.

Kontraktor projek pembangunan taman dikenakan denda RM2,704.61 sehari sejak 15 Julai akibat kelewatan menyiapkan projek.

DBKK menyeru pengunjung mematuhi garis panduan keselamatan dan menjaga kebersihan bagi memastikan kelestarian taman terpelihara.