Harga Petrol, Diesel Naik Mendadak, RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter

Harga Petrol, Diesel Naik Mendadak, RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Harga runcit bahan api di seluruh negara meningkat ketara apabila petrol naik sebanyak 40 sen seliter manakala diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 70 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), harga petrol RON97 kini ditetapkan pada RM5.35 seliter berbanding RM4.95 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.27 seliter daripada RM3.87 seliter.

Bagi diesel di Semenanjung Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM6.72 seliter berbanding RM6.02 seliter sebelum ini.

Bagaimanapun, kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada RM2.15 seliter.

MoF memaklumkan bahawa penetapan harga bahan api adalah berdasarkan purata harga mingguan produk petroleum global, bukannya harga semasa, yang kini menunjukkan penurunan susulan pengumuman gencatan senjata di peringkat antarabangsa.

Menurut kementerian itu, kos bekalan yang tinggi sepanjang lima minggu lalu mencecah kira-kira USD150 setong bagi petrol dan USD250 setong bagi diesel terus mempengaruhi harga runcit bahan api dalam negara.

Harga baharu ini akan berkuat kuasa sehingga 15 April ini.