JIM Sabah Nafi Tahanan Didera

JIM Sabah Nafi Tahanan Didera

0
SHARE
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan sebarang penderaan berlaku terhadap tahanan di pusat Imigresen Kimanis sama ada menghalang mereka daripada bekalan makanan dan perubatan.

Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff memberi respons kepada video tular seorang lelaki yang didakwa dari pusat itu mendakwa mereka kebuluran dan dinafikan ubat untuk penyakit kulit.

Sitti berkata bahawa video yang membayangkan layanan buruk di pusat itu telah dieksploitasi.

“Semua tahanan dipastikan mendapat rawatan dan pengurusan sewajarnya, baik dari segi bekalan makanan mahupun rawatan perubatan…

“Justeru, pihak jabatan ingin menafikan bahawa tiada penindasan terhadap tahanan terutama dari segi penyediaan makanan dan bekalan perubatan sehingga keadaan fizikal digambarkan seperti dalam rakaman itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tangkap layar (screenshot) klip video dan beberapa keping gambar lelaki yang kelihatan kurus kering, didakwa ditahan di depoh Imigresen Kimanis di Sabah sedang merayu bantuan…

Tambah Sitti, kebanyakan tahanan di depoh itu adalah mereka yang telah menjalani hukuman mengikut undang-undang kerana terlibat dalam kegiatan tidak sihat.

“Selepas itu, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Sabah untuk dihantar pulang ke negara asal. Depoh itu juga merupakan tempat untuk menyiasat kewarganegaraan tahanan sebelum mereka dihantar pulang.

“Pengusiran hanya boleh dilakukan selepas mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.

“Apabila disahkan, pihak kedutaan akan mengeluarkan dokumen perjalanan berkaitan (Dokumen Perjalanan – untuk warga Filipina/ Sijil Perjalanan Laksana Pasport – untuk warga Indonesia) sebagai bukti bahawa mereka adalah warganegara mereka,” katanya.

Menurutnya, tahun ini, jabatan itu hanya boleh menghantar pulang warga Filipina bermula 6 Sept berikutan Filipina menutup jeti Zamboanga kerana pandemik COVID-19.

Setakat hari ini, jabatan itu telah menghantar pulang 3,004 warga Filipina dan 2,166 tahanan Indonesia yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform bagi mengelak sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh menjejaskan tugas Jabatan Imigresen Sabah dan mengancam ketenteraman awam,” tambahnya.