KOTA KINABALU: Pengiring rapat Yang Dipertuan Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi hari ini selepas terlibat kemalangan di Taman Megah Gayang, Tuaran awal pagi kelmarin.
Arwah, Koperal Azfar Arshad, 34 tahun dikatakan terlibat kemalangan ketika motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda semasa arwah sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Saya menerima berita sedih bahawa Pengiring Rapat saya Allahyarham Koperal Azfar Arshad yang terlibat dalam kemalangan kelmari telah mengembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth 1.
“Saya sempat menziarahi jenazah dan bertemu keluarga allahyarham sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri uapacara pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” kata Tun Musa menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.