KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memutuskan supaya Allahyarham Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi diberi penghormatan “Istiadat Pengebumian Negara”.
Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.00 pagi bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
“Pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah Baju Kebangsaan warna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak dan bersongkok hitam manakala bagi bukan Islam adalah Lounge Suit gelap.
“Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai.
Pakaian bagi pelawat wanita Islam adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih. Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Semua bangunan di dalam jarak radius 2 kilometer daripada Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai Istiadat Pengebumian.