KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Amisah Yassin menzahirkan kebimbangan serius terhadap kelangsungan Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) yang disifatkan sebagai satu platform penting melibatkan suara anak muda dalam proses demokrasi dan pembentukan dasar negeri.
Menurut beliau, selepas persidangan sulung ADBS yang diadakan pada 30 dan 31 Oktober 2023, tiada sebarang perkembangan atau susulan yang dibuat.
“Tiada program, tiada tindakan. Keadaan ini amat mengecewakan memandangkan ramai anak muda yang berbakat telah tampil dengan pelbagai cadangan bernas semasa sidang tersebut, antaranya berkaitan peluang pekerjaan belia luar bandar, pendidikan kemahiran, pendigitalan desa dan pengukuhan ekonomi komuniti.
“Rakyat muda Sabah ini merasakan suara mereka hanya didengar seketika, kemudian dilupakan begitu sahaja,” tegasnya dalam ucapannya sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Sabah,
Amisah menyeru agar kerajaan negeri tidak memandang ringan perkara ini, kerana ia melibatkan masa depan kepimpinan Sabah.
Beliau mencadangkan agar ADBS diaktifkan semula dengan sidang tahunan yang dijadual secara tetap.
Malah, beliau mencadangkan hasil perbahasan ADBS dibentangkan secara rasmi dalam sidang Dewan Undangan Negeri setiap tahun sebagai satu laporan khas untuk tindakan kementerian dan agensi berkaitan.
Selain itu, beliau turut menyarankan penubuhan sebuah badan sekretariat tetap yang dinamakan Sabah Youth Policy Action Hub, yang akan terdiri daripada wakil kerajaan, ADBS, persatuan belia dan pihak akademik.
Amisah turut mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan dana khas untuk program-program seperti latihan kepimpinan, simulasi persidangan, penulisan dasar dan pendedahan antarabangsa bagi ADBS.
“Dengan adanya langkah-langkah seperti ini, kita tidak hanya melahirkan pemimpin yang mampu bercakap, tetapi juga yang benar-benar berkualiti, mampu merancang, melaksana dan menilai dasar untuk kebaikan negeri,” katanya.
Jelasnya, jika Sabah benar-benar mahu melihat kesinambungan kepimpinan berkualiti untuk masa depan, ADBS perlu diberi komitmen serius, bukan sekadar menjadi platform simbolik.