745 Kes Banjir Direkod, Kerajaan Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut –...

745 Kes Banjir Direkod, Kerajaan Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut – Fadillah

0
SHARE

PUTRAJAYA: Sebanyak 745 kejadian banjir direkodkan di seluruh negara setakat 17 Mac lalu, mendorong kerajaan mempertingkat kesiapsiagaan operasi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan, melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), pelbagai langkah strategik telah dilaksanakan bagi memastikan pengurusan risiko banjir berjalan secara berkesan dan menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kesiapsiagaan operasi menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

Kerajaan komited memastikan kesiapsiagaan dan pengurusan bencana banjir dilaksanakan secara efisien, terselaras dan berkesan demi menjamin keselamatan rakyat serta kemampanan negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, pemantauan ramalan dan amaran banjir dilaksanakan secara berterusan 24 jam melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), yang disokong oleh 1,798 stesen hidrologi telemetri di seluruh negara.

Setakat ini, sebanyak 64 hebahan ramalan awal banjir dan 39 amaran banjir telah dikeluarkan, manakala 614 siren amaran serta 197 kamera pemantauan dipasang di lokasi strategik bagi membantu pemantauan situasi semasa.

Sehingga 16 Mac, sebanyak 675 pengaktifan siren direkodkan sebagai langkah amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko.

Dalam pada itu, sebanyak 3,682 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh negara, dengan Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 760 lokasi, diikuti Kelantan (618) dan Sabah (517).

PETRA turut memastikan kesiapsiagaan aset termasuk 606 pam mudah alih, 1,079 pintu kawalan air serta 285 rumah pam berada dalam keadaan baik dan sedia digunakan.

Pemantauan rapi juga dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS serta 761 kolam takungan banjir, selain kerja penyelenggaraan berkala di lembangan sungai berisiko tinggi.

Dalam usaha mempercepat penyampaian maklumat, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi diperkukuh bagi menyalurkan hebahan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan terlibat.

Kerajaan turut menyelaras Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air empangan bersama pihak berkuasa negeri sebagai langkah persediaan meningkatkan keupayaan takungan sepanjang musim MTL.

Orang ramai disaran sentiasa mengikuti maklumat rasmi berkaitan ramalan dan amaran banjir melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terpelihara.