KUALA LUMPUR: Sektor perhutanan dan pertanian negara mencatatkan sumbangan sebanyak RM6.006 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025, sekali gus membuktikan peranan signifikan sektor itu dalam memacu ekonomi negara secara mampan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian tersebut selari dengan tema Hari Hutan Antarabangsa 2026 iaitu “Hutan dan Ekonomi” yang menekankan peranan hutan dalam menjana pendapatan, peluang pekerjaan serta aktiviti perdagangan, termasuk hasil hutan bukan kayu dan perdagangan karbon.
“Hutan bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi, malah berperanan penting sebagai penyerap karbon semula jadi yang membantu menstabilkan suhu global dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia kekal komited dalam memastikan pengurusan hutan secara lestari melalui pelaksanaan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) di bawah Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management (MC&I SFM), dengan keluasan hutan sebanyak 5.92 juta hektar telah diperakui setakat ini.
Menurutnya, pensijilan itu bukan sahaja menjamin sumber kayu yang sah dan mampan, malah membantu mengurangkan penyahhutanan, melindungi kawasan tadahan air, memulihara biodiversiti serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
Dalam pada itu, Arthur berkata kerajaan turut mengurangkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal kepada 890,000 hektar bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), berbanding 1.165 juta hektar dalam tempoh RMKe-12.
“Langkah ini penting bagi memastikan keseimbangan antara keperluan ekonomi dan pemeliharaan hutan, di samping menjamin bekalan kayu kepada industri secara berterusan,” katanya.
Tambah beliau, kementerian melalui jabatan perhutanan di seluruh negara giat memperkasa pembangunan ekopelancongan berasaskan hutan sebagai alternatif kepada aktiviti pembalakan konvensional.
Katanya, usaha itu turut disokong melalui peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menambah baik sistem permohonan permit dan kemudahan ekopelancongan secara dalam talian.
Selain itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui latihan dan bimbingan teknikal bagi membolehkan mereka mengurus aktiviti ekopelancongan secara lebih sistematik, berdaya saing dan mampan.
Arthur berkata, semua pihak perlu bersama-sama menghayati kepentingan hutan sebagai khazanah semula jadi yang menyokong sosioekonomi serta kesejahteraan hidup masyarakat.
“Komitmen berterusan dalam memelihara dan memulihara hutan amat penting agar kelestariannya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang,” katanya.






