Ops Selamat: Polis Nasihat Orang Ramai Maklumkan Rumah Kosong Sebelum Balik Kampung

Ops Selamat: Polis Nasihat Orang Ramai Maklumkan Rumah Kosong Sebelum Balik Kampung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Sabah menasihatkan orang ramai yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina supaya memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat serta memaklumkan kepada pihak polis bagi tujuan rondaan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan risiko jenayah pecah rumah ketika musim perayaan.

“Bagi mereka yang meninggalkan rumah kosong, pastikan rumah berkunci dengan sempurna, tutup bekalan air yang tidak digunakan dan maklumkan kepada jiran terdekat supaya dapat membantu memantau keadaan sekeliling.

“Orang ramai juga digalakkan memaklumkan kepada pihak polis supaya rondaan dapat dijalankan di kawasan perumahan yang ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas  program walkabout bersama IPD Kota Kinabalu di Terminal Bas Inanam, pada Isnin.

Menurutnya, dalam program tersebut pihak polis turut mengadakan kempen kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya serta menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai ahli Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada polis.

Datuk Mohd Azhar turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, pemandu cukup rehat dan sentiasa memandu secara berhemah bagi mengelakkan kemalangan sepanjang musim perayaan.