KOTA KINABALU: Parti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menegaskan bahawa belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, beliau mengambil maklum akan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang.
“Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa.
“Walaubagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat MADANI yang dipraktikkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Phoong menegaskan bahawa kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah, dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.
“Justeru itu, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.
“DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya.
“Pendirian PH Sabah harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat,” jelasnya.