Jaga Kesihatan, Keselamatan Diri Ketika Bertugas

Jaga Kesihatan, Keselamatan Diri Ketika Bertugas

0
SHARE
Fuad
Mohd Fuad (tengah) menyampaikan Bubur Lambuk kepada Pegawai Bomba Kamaruddin Kamarul (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Prihatin dengan penat lelah petugas barisan hadapan, Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah turun padang menyantuni golongan berkenaan.

Katanya, meski berdepan dengan cuaca panas dan bekerja dalam bulan Ramadan, golongan tersebut tetap komited dengan tugas yang diamanahkan.

“Dalam menangani bencana kemarau ini, kita dibantu oleh 22 agensi dan jabatan kerajaan dan tiga agensi swasta serta beberapa NGO.

“Selain itu, kita juga mempunyai pejuang-pejuang yang mengagihkan air ke kampung-kampung kira-kira 200 orang pemandu lori serta kelindan.

“Keseemua mereka ini bekerja tujuh hari seminggu mengikut syif dalam tempoh 24 jam yang dikoordinasi melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” jelasnya.

Ketika menyantuni para petugas, Mohd Fuad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah turut menasihati para petugas supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengutamakan keselamatan diri ketika menjalankan tugas masing-masing.

Beliau ditemui media ketika menyantuni dan menyampaikan Bubur Lambuk sumbangan Petronas dan Syarikat Adabi sebagai jaudah berbuka puasa kepada para petugas barisan hadapan di beberapa lokasi antaranya, Pejabat Bomba dan Penyelamat Papar, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, PKOB Daerah Papar dan Kg Buang Sayang dekat sini, pada Ahad.

Terdahulu, beliau mewakili PKOB Daerah Papar menerima sumbangan 360 pek Bubur Lambuk dalam Program Memasak Bubur Lambuk anjuran Rakan Niaga Petronas dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad, Kimanis Petroleum Center dan Adabi Consumer Industries Sdn, Bhd. di Kimanis.

Dalam pada itu, Rakan Niaga Petronas Papar, Samlih Nip yang juga Ketua Taskforce Rakan Niaga Sabah memaklumkan, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat minyak dan gas multinasional negara itu dilaksanakan di 83 stesen di seluruh Sabah sejak awal Ramadan.

“Program Bubur Lambur ini anjuran bersama rakan-rakan niaga Petronas sekitar Sabah dengan kerjasama daripada Syarikat Adabi, di samping Petronas Training Center Kimanis dan juga LPG serta Syarikat HAJA kita punya koordinator.

“Untuk agihan sebenarnya, kita masak di sini tujuh kawah lebih kurang 2,800 pek untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar Kimanis sehingga ke Papar nanti.

“Antara penerimanya ialah SK Membakut, PKOB Daerah Papar, Bomba Kimanis, surau-surau dan masjid berhampiran serta pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke stesen Petronas petang nanti di Kimanis dan Papar,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Kimanis Petroleum Training Center Alfie Mahathir Semanis, Pengurus Kawasan Petronas Dagang Berhad Wilayah Sabah dan Labuan, Mohd Muhidin Asfar Sahrul dan Chef Eksekutif Adabi, Rabiatuladawiyah Sarip. — JABATAN PENERANGAN SABAH