KOTA KINABALU: Ibu bapa serta para pendidik disaran agar lebih peka terhadap aspek kebersihan anak-anak sebagai langkah mencegah penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang kini dilaporkan berlaku di beberapa sekolah di Sabah.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohd Arif Sakaran berkata, kebanyakan jangkitan HFMD berpunca daripada pendedahan di luar persekitaran sekolah dan boleh dicegah dengan amalan kebersihan asas yang konsisten.
“Saya menyeru agar ibu bapa lebih peka terhadap kesihatan anak-anak, terutama yang masih kecil. Jika mereka menunjukkan simptom HFMD, sebaiknya jangan hantar ke sekolah. Kuarantin di rumah adalah langkah terbaik untuk mencegah penularan lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam 2, di sini pada Sabtu.
Mohd Arif turut menekankan peranan penting PIBG dalam membantu pihak sekolah memantau tahap kesihatan pelajar.
Beliau mencadangkan agar sekolah bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kesihatan untuk melaksanakan program kesedaran berkaitan penyakit berjangkit.
“Sekolah juga perlu segera mengambil tindakan sekiranya ada pelajar menunjukkan gejala. Pelajar tersebut perlu diasingkan di bilik kuarantin sementara menunggu ibu bapa datang menjemput. Kita telah belajar daripada pengalaman pandemik COVID-19, dan kini sekolah sudah lebih bersedia,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan PIBG dipertingkatkan bagi memastikan pengurusan kesihatan pelajar lebih efisien dan kehadiran murid ke sekolah tidak terjejas akibat jangkitan penyakit seperti HFMD.