GENEVA, SWITZERLAND – Pemberian dos penggalak COVID-19 secara berulang bukanlah strategi berdaya maju menangani kemunculan varian baharu bagi perlindungan lebih baik daripada penularan, demikian amaran yang dikeluarkan Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini.
AFP melaporkan bahawa Kumpulan Pakar yang diwujudkan oleh pertubuhan itu bagi menilai prestasi vaksin COVID-19 berkata, pemberian suntikan baharu vaksin COVID-19 sedia ada ke atas varian baharu bukanlah cara terbaik untuk melawan wabak berkenaan.
“Strategi vaksinasi dengan dos penggalak berulang bagi komposisi vaksin asal tidak mungkin sesuai atau mampan,” kata Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Komposisi Vaksin COVID-19 (TAG-Co-VAC) dalam satu kenyataan.
Menurut mereka, data awal menunjukkan vaksin sedia ada kurang berkesan untuk mencegah penyakit COVID-19 yang bergejala kepada individu yang dijangkiti varian Omicron yang kini merebak seperti ‘kebakaran’ di seluruh dunia.
Namun, pemberian dos yang lebih sebagai perlindungan terhadap penyakit yang lebih teruk ‘lebih berkemungkinan untuk dipelihara’.
Justeru, kumpulan itu mengesyorkan pembangunan vaksin yang bukan saja memberi perlindungan mendapat sakit yang lebih teruk, tetapi juga boleh mencegah jangkitan dan penularan dengan lebih baik.
“Vaksin COVID-19 mempunyai impak tinggi terhadap pencegahan jangkitan dan penularan, di samping pencegahan penyakit teruk dan kematian, diperlukan dan harus dibangunkan,” kata TAG-Co-VAC.
“Sehingga vaksin sedemikian tersedia dan apabila virus SARS-CoV-2 berkembang, komposisi vaksin COVID-19 sedia ada mungkin perlu dikemas kini untuk memastikan ia terus menyediakan tahap perlindungan yang disyorkan WHO terhadap jangkitan dan penyakit mengikut varian kebimbangan (VOC), termasuk Omicron dan varian masa hadapan.”