TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 95 tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran selepas menahan sebuah bot kargo tanpa nombor pendaftaran di Tanjung Doris, malam Khamis.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot dikendalikan seorang tekong Indonesia berusia 27 tahun bersama dua pembantu berusia 29 dan 25 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri serta permit barangan kawalan yang dibawa,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemukan 18 tong gas berlabel Petronas, 77 MyGas serta 22 gelen kosong dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM52,000.
“Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.
Ariffin menegaskan pihaknya akan memperketat kawalan di jeti haram dan rondaan malam bagi mengekang kegiatan sindiket.






