Rugi RM90 Billion Setahun, Parti Bumi Kenyalang Tegas Mahu Sabah, Sarawak Keluar...

Rugi RM90 Billion Setahun, Parti Bumi Kenyalang Tegas Mahu Sabah, Sarawak Keluar Malaysia

0
SHARE

PENAMPANG: Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan menegaskan misi parti kekal mahu membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, mendakwa kedua-dua negeri sengaja dibiarkan miskin di bawah kawalan Malaya.

Katanya, perjuangan PBK bukan sekadar soal periuk nasi sejak merdeka, sebaliknya menolak “ahli politik kitar semula” yang didakwa terus mengekalkan rasuah.

Voon berkata, kemasukan PBK ke Sabah untuk PRN ke-17 atas permintaan penyokong, dengan Datin Soh Kee Suat dan Datuk Ronnie Loh mengetuai kempen.

Beliau mendakwa Sabah kerugian kira-kira RM90 bilion setahun, selain kehilangan Labuan kepada kerajaan Persekutuan dan isu pengembalian Pelabuhan Bintulu di Sarawak.

PBK, katanya, akan menubuhkan agensi antirasuah negeri sendiri jika berkuasa.

“Jika kerajaan Persekutuan gagal penuhi hak kita, seperti Singapura, kita akan keluar dari Malaysia secara sah dan aman. Itulah perjuangan kami,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa keanggotaan ramai tidak menjamin kemenangan jika rakyat tidak memberi undi, sambil menyeru hanya “nasionalis sejati” menyertai perjuangan PBK.