KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) komited memperkukuh pembangunan ekonomi digital negeri selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam memperluaskan kesalinghubungan digital di seluruh Sabah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang kukuh dan mampan amat penting bagi memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis EDOTCO Serene Ramadan Evening di sini pada Isnin yang dianjurkan bagi mengeratkan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak industri dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur digital di Sabah.
Menurutnya, dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, kesalinghubungan digital bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya menjadi asas penting kepada pembangunan moden serta pertumbuhan ekonomi.
“Bagi sebuah negeri yang luas seperti Sabah dengan cabaran geografi di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman, pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang kukuh amat penting bagi memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pelaksanaan Pelan JENDELA 2 di peringkat nasional merupakan langkah penting dalam memperkukuh liputan serta kualiti rangkaian digital di seluruh negara, khususnya di Sabah.
Dalam masa sama, James berkata Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta rakan industri bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berkaitan memberi impak nyata kepada rakyat.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan berasaskan data amat penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital dapat dilaksanakan secara lebih strategik dan berfokus kepada keperluan sebenar rakyat.
Katanya, EDOTCO Malaysia dengan kerjasama strategik bersama KPSTI telah membangunkan platform Sabah Connectivity Dashboard yang berfungsi sebagai sistem pemantauan untuk membantu kerajaan negeri mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi.
“Melalui platform ini, kerajaan negeri dapat mengenal pasti dengan lebih tepat kawasan yang memerlukan intervensi sekali gus memastikan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman turut menikmati kesalinghubungan digital yang lebih baik dan mampan,” katanya.
Menurut beliau lagi, pembangunan infrastruktur digital turut berkait rapat dengan usaha membangunkan bakat serta modal insan negeri.
Katanya, akses digital yang lebih baik akan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Sabah untuk menceburi bidang masa hadapan seperti sains, teknologi, inovasi, ekonomi digital, kecerdasan buatan serta teknologi baharu.
Tambahnya, kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan sebagai negeri yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan digital.
Mengulas mengenai penganjuran majlis yang berlangsung dalam bulan Ramadan itu, beliau berkata semangat kebersamaan, kesyukuran dan keprihatinan yang dibawa oleh bulan mulia tersebut wajar menjadi asas kepada kerjasama semua pihak dalam membangunkan Sabah demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada EDOTCO Malaysia atas komitmen berterusan syarikat itu dalam menyokong pembangunan infrastruktur digital di negeri ini.






