Malaysia-Jordan Kukuh Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan

Malaysia-Jordan Kukuh Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan

0
SHARE
Sumber Foto: Bernama...

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik kesediaan Jordan untuk memperkukuh kerjasama pendidikan terutamanya dalam bidang perubatan dalam usaha melahirkan graduan perubatan unggul dan berkualiti.

Education Malaysia Jordan (EM Jordan) dalam satu kenyataan yang dipetik Bernama berkata, perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar hasil pertemuannya dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik yang juga Menteri Pendidikan Jordan Dr Wajih Mousa Owais semasa lawatan kerjanya ke negara berkenaan baru-baru ini.

Agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi itu berkata turut hadir dalam perjumpaan berkenaan ialah Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin, Datuk Jilid Kuminding serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

Menurutnya dalam perjumpaan itu Kamarudin turut mengusulkan supaya pertemuan anggota Joint Working Group (JWG) yang sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID-19 diteruskan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan MoU yang telah ditandatangani oleh kedua-dua negara pada tahun 2019.

Dr Wajih Owais pula menzahirkan harapan untuk melihat lebih banyak berlaku ‘inbound dan outbound’ mobiliti melibatkan pensyarah bergelar profesor agar wujud perkongsian intelektual yang cemerlang dalam kalangan warga akademia di kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu Jilid berkata sektor pendidikan memainkan peranan penting dalam hubungan diplomatik antara Malaysia-Jordan, dan kecemerlangan hubungan diplomatik ini akan terus dijaga dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Menurutnya sehingga Januari 2022, terdapat 1,117 orang pelajar Malaysia di Jordan, dan lebih 1,600 orang pelajar Jordan di Malaysia dalam pelbagai bidang pengajian terutamanya di peringkat pengajian pasca-siswazah.

Pengarah EM Jordan, Prof Madya Radzuwan Ab Rashid pula berkata pihak Education Malaysia Jordan sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai pemudahcara dalam kerjasama pendidikan dua hala antara Malaysia dan Jordan.