Bot Kargo Cuba Seludup Keluar Barang Kawalan Ditahan

Bot Kargo Cuba Seludup Keluar Barang Kawalan Ditahan

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo tempatan dengan muatan pelbagai barangan yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran di perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik lebih kurang jam 1.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot kargo yang “mencurigakan” itu dikesan bergerak dari arah perairan Batu 3 menuju ke kawasan sempadan perairan Malaysia – Indonesia oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam Ops Cegah Pati Selatan.

“Pemeriksaan awal mendapati bot kargo tersebut dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita warga tempatan berumur 35 tahun…

“Pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan,” katanya.

Siva berkata tekong terbabit juga turut mengabaikan aspek keselamatan di laut kerana tidak mempunyai pelampung keselamatan dan alat pemadam api.

“Pemeriksaan di dalam bot turut menjumpai pelbagai set kosmetik yang diragui status pendaftaran serta tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.

Antara barang yang dirampas adalah 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak berpaket, 3.4 tan tepung gandum, 1764 set kosmetik pelbagai jenama dan barang-barang runcit campuran.

“Kedua-dua suspek ditahan bersama bot serta muatan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut…

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM212,956,” Siva berkata.

Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.