SLOGAN SABAH MAJU JAYA AJAK RAKYAT SABAH CINTAI KEMAJUAN DAN KEJAYAAN: KM...

SLOGAN SABAH MAJU JAYA AJAK RAKYAT SABAH CINTAI KEMAJUAN DAN KEJAYAAN: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mesra bersama anggota perkhidmatan awam pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) - ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini menjadi sebutan ramai, merupakan frasa ringkas dengan mesej besar mengajak setiap rakyat di negeri ini mencintai kemajuan dan kejayaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, akronim Sabah Maju Jaya dipilih sebagai hala tuju pembangunan negeri ini kerana mahu mengangkat slogan yang telah lama berada pada jata negeri ke kedudukan lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, beliau merasa sedikit terkilan apabila terdapat segelintir pihak tertentu yang sering mempersenda dan memperlekeh slogan keramat itu menerusi melalui tulisan atau komen di dalam laman media sosial.

“Niat dan hasrat kita ialah mengangkat dan menjulang tinggi slogan keramat Sabah
Maju Jaya dari jata negeri yang setiap masa terlihat serta terbaca oleh kita.

“Tetapi ramai pula yang memperlekehkannya dan memandang rendah usaha murni yang kita perjuangkan itu.

“Pada saya, mempersenda dan memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya, samalah sifatnya seperti tidak menghormati, atau tidak menyayangi bahkan menghina negerinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan
Persekutuan Tahun 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, banyak negeri lain termasuk di negara jiran-Indonesia, juga mempunyai
slogan mereka tersendiri.

Ketika ucapannya, beliau mengambil contoh seperti negeri Sarawak memperkenalkan slogan “Sarawak Maju Makmur” bagi melonjakkan kemajuan negeri dan Selangor menggunakan “Kita Selangor Maju Bersama”.

Selain itu katanya negeri Terengganu menggunakan istilah “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”, Melaka memperkenalkan slogan “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”, manakala Negeri Kedah menggunakan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua.”

Negara Indonesia pula menurutnya mengangkat slogan “Terus Melaju Untuk Indonesia Maju”.

“Hakikatnya, kita perlu bertekad cemerlang serta tekun berusaha, lebih-lebih lagi
selaku anggota perkhidmatan awam yang komited dan bertanggungjawab untuk
menjadikan Sabah lebih maju serta rakyatnya berkemajuan.

“Apa juga isu dan cabaran yang mendatang, kita perlu mengharunginya bersama dengan cekal dan bijaksana. Jangan mudah terpengaruh dengan adu domba atau provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu melihat kita terus bertelingkah.

“Kita perlu berikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha menjadikan Sabah lebih maju dan berjaya,” tegasnya.

Dalam pada itu Hajiji berkata, setelah hampir tiga tahun pelaksanaan aspirasi Hala Tuju SMJ telah membawa negeri ini ke landasan tepat untuk terus maju dan membangun.

“Selaras dengan komitmen dan semangat Hala Tuju SMJ, pada tahun lalu, kita berjaya
merekodkan hasil kerajaan negeri tertinggi dalam sejarah, yang berjumlah RM6.973
bilion.

“Sebenarnya, momentum itu telah kita mulakan sejak mengemudi kerajaan negeri dengan merekodkan jumlah hasil negeri yang besar iaitu RM5.449 bilion pada 2021 dan RM6.960 bilion pada tahun 2022,” katanya.

Selain memperoleh hasil negeri yang tinggi, Hajiji berkata Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion, disamping rekod dagangan antara yang tertinggi dalam sejarah berjumlah RM118.1 bilion pada tahun 2022.