KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan terus memastikan kehidupan rakyat Sabah terbela dengan usaha berterusan menyelesaikan isu berkaitan keperluan asas rakyat khususnya elektrik, air, perumahan dan sebagainya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata isu terbabit telah menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama.
Tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak, Hajiji berkata kerajaan pimpinannya sejak September 2020 telah melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih selesa.
“Kita telah melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 pada bulan September tahun lalu sebagai usaha beralih daripada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti gas asli dan bergantung kepada rangkaian sungai di Sabah.
“Permintaan bekalan tenaga elektrik semakin meningkat pada masa ini boleh diatasi dengan mempercepatkan pengeluaran hidroelektrik bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pesat di negeri ini.
“Tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomas dan biogas akan melengkapkan lagi kapasiti penghasilan tenaga elektrik di
Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan
Persekutuan Tahun 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom yang dijangka siap pada 2029, aliran bekalan elektrik akan diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan
tenggara Sabah sekali gus mencipta rangkaian tenaga lebih stabil.
Menurutnya, projek itu akan turut membantu menyelesaikan kekurangan bekalan air
dalam tempoh masa panjang dengan penghasilan 6,000 juta liter air sehari.
Projek terbabit juga akan menjadi pengubah keadaan (game changer) kepada negeri Sabah sekali gus menjamin kehidupan yang lebih baik dan sempurna pada masa akan datang.
Bagi memastikan bekalan air menjadi lebih stabil, kerajaan juga telah meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong 1 dan 2.
Selain itu, sebanyak 130 juta liter air sehari hingga 160 juta liter air sehari yang mampu membekalkan air di kawasan Utara Kota Kinabalu termasuk di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurutnya, kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air
Kogopon di Papar kepada 80 juta liter air sehari meliputi kawasan Papar, Kimanis
hingga ke Selatan Kota Kinabalu.
Projek itu yang bermula lima bulan lepas dengan kos RM385 juta dijangka siap pada tahun 2026.
Disamping itu, Hajiji juga berkata pihaknya juga telah menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri pada 7 Disember 2021 iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd (kini dikenali SMJ Energy Sdn Bhd) dan setakat Disember 2023, SMJ Energy mempunyai lebih RM5 billion jumlah
aset.
Beliau berkata, SMJ Energy mempunyai pemerolehan aset pengeluar minyak dan gas
yang menguntungkan dengan aliran tunai yang kukuh melalui 50 peratus faedah penyertaan dalam Samarang Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
Selain itu, syarikat terbabit juga merekodkan sebanyak 25 peratus dalam loji petrokimia
(Sabah Ammonia and Urea Plant (SAMUR)) di Sipitang, dan 10 peratus pegangan pemilikan dalam LNG9 yang dikendalikan Kompleks LNG Bintulu selepas pemerolehan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) pada bulan November 2023.
“Selain itu kita turut memperolehi pegangan sebanyak 25 peratus dalam pembinaan
kemudahan gas asli cecair terapung yang dikenali sebagai ZLNG di SOGIP, Sipitang.
“SMJ Energy juga telah berjaya menjual hasil minyak mentah sebanyak tiga kali iaitu
pada Ogos 2023, Oktober 2023 dan Januari 2024 melalui 50 peratus kepentingannya di
Samarang PSC kepada syarikat minyak antarabangsa, dengan pendapatan kasar
gabungan berjumlah kira-kira RM371 juta,” katanya.