Dua Lelaki Terperangkap Akibat Air Pasang di Kg Sarang, Kota Belud

Dua Lelaki Terperangkap Akibat Air Pasang di Kg Sarang, Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Dua lelaki dilaporkan terperangkap di tepi laut ketika memancing selepas paras air laut meningkat dan ombak kuat di Kampung Sarang, Kota Belud, malam tadi.

Menurut laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud, kejadian dilaporkan melalui panggilan kecemasan MERS999 sekitar jam 10.21 malam (25 Oktober 2025).

“Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Benyamir Jainis dan Chalster Stebon, masing-masing berbangsa dusun dan memakai baju berwarna putih serta putih hitam ketika kejadian. 

“Mereka dipercayai terperangkap di kawasan berbatu berhampiran pesisir pantai akibat air laut pasang besar dan keadaan laut bergelora,” jelas kenyataan di atas itu di sini, semalam.

APM Kota Belud segera mengatur gerak pasukan penyelamat dengan kekuatan lima anggota menggunakan kenderaan Hilux Revo (Malaysia 4504) ke lokasi kejadian pada jam 11.15 malam.

Pemeriksaan awal dilakukan bersama rakan mangsa, Maxwell yang juga merupakan pemanggil pertama kes berkenaan.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 12.07 tengah malam (26 Oktober) dan menjalankan pemantauan di rumah keluarga serta lokasi terakhir mangsa dilihat.

Operasi awal selesai sekitar jam 1.07 pagi, dan skuad penyelamat selamat kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Belud pada jam 2.02 pagi.

Menurut kenyataan APM, kedua-dua mangsa masih terperangkap disebabkan keadaan laut yang berombak kuat, selain tiada liputan telefon yang menghalang komunikasi. Paras air laut dijangka surut sekitar jam 3.00 pagi, sekali gus membolehkan operasi penyelamatan seterusnya dilaksanakan.

Operasi turut disertai oleh pasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menghantar tiga anggota, manakala penduduk kampung seramai lapan orang turut membantu usaha pemantauan dan keselamatan di kawasan berisiko.

Secara keseluruhan, seramai 16 anggota keselamatan dan sukarelawan terlibat dalam operasi malam tadi, terdiri daripada APM, JBPM dan penduduk setempat.