Hampir 40,000 Ekar Tanah SFI Diwartakan Untuk Rizab Kampung

Hampir 40,000 Ekar Tanah SFI Diwartakan Untuk Rizab Kampung

0
SHARE

TENOM: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industry (SFI) untuk dijadikan rizab kampung, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, pewartaan rizab kampung ini membuktikan kerajaan GRS sentiasa peka terhadap keperluan rakyat.

“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, kita telah meluluskan lebih 40,000 ekar tanah kerajaan daripada SFI untuk tujuan ini,” katanya semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, baru-baru ini.

Ketua Menteri berkata, di bawah kepimpinan GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga turut diperuntukkan dan diberikan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat hidup dengan selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya adalah kemakmuran rakyat. Sebab itu kita mengutamakan kebajikan rakyat,” jelas beliau.

Sebelum ini hanya sekitar 30,000 rakyat tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun kini jumlah tersebut telah meningkat kepada 70,000 penerima di bawah kerajaan negeri hari ini.

Hajiji turut menegaskan bahawa Sabah kini menerima banyak manfaat hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, di mana negeri kini mempunyai suara yang lebih besar dalam industri minyak dan gas. Katanya, sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) kini melibatkan lebih 80 vendor tempatan berbanding hanya 10 pada tahun 2022 — dan vendor tempatan menguasai 36 peratus kontrak pasaran industri tersebut.

Beliau menegaskan, tidak seperti pembangkang yang hanya bermain politik dendam apabila mengambil alih kerajaan, Kerajaan GRS kekal fokus kepada pembangunan dan kemajuan melalui Hala Tuju SMJ 1.0.

“Jika rakyat memberikan kembali mandat kepada GRS, kita akan meneruskan pembangunan berterusan di bawah Hala Tuju SMJ 2.0. Kita tidak bermain politik, kita tidak membuat janji kosong. Kita mempunyai agenda pembangunan, sedangkan pembangkang sanggup berjanji bulan dan bintang,” katanya.

Dalam majlis sama, Hajiji mengesahkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi Kemabong untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 pada 29 November ini.

“Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu pengundi Kemabong, InsyaAllah Datuk Rubin Balang akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini,” katanya.