JOHOR BAHRU – Selepas tular dua orang pemain kebangsaan Faisal Halim dan Akhyar Rashid diserang sehingga menyebabkan kecederaan teruk, kini giliran Safiq Rahim pula ditimpa malang apabila cermin keretanya dipecahkan menggunakan tukul besi.
Cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Mohammad Safiq Bin Rahim telah dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Sri Gelam, di sini, malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.05 malam itu dikongsikan oleh Safiq sendiri menerusi akaun media sosial Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian di Instagram itu, Safiq memaklumkan bahawa kereta miliknya telah diserang oleh dua individu menggunakan tukul besi dan kejadian tersebut berlaku berdekatan Pusat Latihan JDT.
“Dua lelaki datang ke arah kereta saya dan salah seorang pembonceng motosikal tersebut mengeluarkan sebatang tukul besi lalu mengetuk cermin belakang kereta saya…
“Ketukan tersebut menyebabkan saya terkejut dan memberhentikan kenderaan. Kemudian dua lelaki berkenaan berhenti di hadapan saya dan menunjukkan tukul ke arah saya sebelum mereka beredar,” menurut Safiq.
Dalam muat naik itu, beliau turut memaklumkan sudah membuat laporan polis selepas risau dengan keselamatan dirinya.
Beliau turut memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan itu.