UMNO Sudah Hilang Bisa, Hanya Gah Pada Nama – Noh Omar

UMNO Sudah Hilang Bisa, Hanya Gah Pada Nama – Noh Omar

0
SHARE
Tan Sri Noh Omar...

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Katanya UMNO kini hanya ditunjangi oleh kaki bodek yang tewas dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan parti.

“(Ahli Majlis Kerja Tertinggi) Lokman Adam, Isham Jalil, di peringkat bahagian pun mereka tak dapat menang macam mana UMNO kata itu suara akar umbi,” katanya.

Pada 28 Jan lalu, UMNO menggantung keahlian Noh Omar dalam UMNO disebabkan 16 pertuduhan dihadapinya kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Laporan MalaysiaKini, Pengerusi UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin, berkata keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan dia tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Noh bagaimanapun meminta supaya keahliannya digugurkan selepas UMNO membuat keputusan untuk menggantung keahliannya.

Dalam pada itu, Noh berikrar untuk menjadikan Parlimen Tanjung Karang sebagai kubu kuat PN pada PRN akan datang selepas sekian lama dikuasai UMNO.

“Sudah 30 tahun saya mempertahankan kawasan Tanjung Karang sebagai kubu kuat Umno. Mereka (UMNO) boleh benci saya tetapi jangan jadikan rakyat di sana sebagai mangsa kerakusan politik mereka,” katanya lagi.

Mengakui UMNO mempunyai pengikut yang ramai dengan lebih 1.3 juta keahlian, Noh berkata parti itu sememangnya hebat dari struktur dan sokongan akar umbi.

Namun dia faham dalam politik tidak ada yang kekal, pemimpin silih berganti apa yang ada hanyalah perjuangan sesebuah parti.

“Tetapi jika kerakusan ini diteruskan, UMNO akan hilang. Umno telah lari dari perjuangannya dan bukan lagi tempat perlindungan orang Melayu…

“Sebagai contoh, usul tidak tanding jawatan presiden UMNO antara salah guna kuasa dalam kepimpinan UMNO,” tambahnya.