
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 3,500 jemaah di Masjid Negeri di sini, pagi tadi.
Juhar bersama isteri tiba di masjid itu pada jam 7.20 pagi dan disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut menyambut ketibaan Juhar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri Datuk, Shahelmey Yahya; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Sabin Samitah.
Hadir sama dalam solat sunat Aidilfitri di masjid itu ialah, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Solat diimamkan Imam Besar, Suhaidi Kuanting manakala Bungsu menyampaikan khutbah bertajuk Azam Lakukan Perubahan Capai Kemajuan.
Sementara itu, Arifin yang juga Pengerusi Sambutan Hari kebesaran Islam Negeri Sabah ketika ditemui, beliau menyeru rakyat Sabah untuk memanfaatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dengan mengeratkan silaturahim serta memperkasa keharmonian pelbagai kepercayaan dan kaum di negeri itu.
“Sepertimana yang kita maklum bahawa negeri Sabah khususnya, kita hidup harmoni di kalangan pelbagai masyarakat, kaum serta agama dan kita tetap meraikan dan ini yang perlu kita pertahankan sempena bulan Syawal yang mulia ini.
“Perbanyakkan silahturami, ziarah menziarahi dan manfaatkan nilai berkenaan dengan menyambung silaturahim sesama kita dan perpaduan,” katanya.





