TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan sebuah bot tunda serta sebuah lori tangki yang didapati sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Tanjung Batu, Tawau awal pagi, semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman, melalui maklumat perisikan, bot peronda Zon Maritim Tawau yang menjalankan Op Khas Pagar Laut, Op Pluto Timur dan Op Tiris digerak ke jeti Komsa Tg Batu pada kira-kira pukul 2.10 pagi.
“Sejurus menerima maklumat dalam keadaan bergelap, bot peronda Maritim Malaysia telah bertindak ke lokasi dan mendapati sebuah lori tangki berada di jeti terbabit sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak ke sebuah bot tunda.
“Semasa serbuan oleh bot peronda Maritim Malaysia, kesemua suspek di lokasi berjaya ditahan membabitkan seorang ketua kapal warga Myanmar bersama empat awak-awak yang masing-masing merupakan dua warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan seorang warga tempatan.
“Manakala, seorang lagi pemandu lori warga tempatan turut ditahan. Kesemua suspek lelaki berikut berumur dalam lingkungan 32 hingga 57 tahun,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.
Shahrizan berkata pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati tiada sebarang dokumen berkaitan aktiviti pemindahan minyak yang dilakukan.
“Bot tunda dan lori tangki tersebut seterusnya ditahan bersama muatan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat dibawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 kerana menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran,” jelas beliau.
Nilai rampasan termasuk bot tunda, lori tangki dan muatan dianggarkan kira-kira hampir RM250,000.