KUCHING, SARAWAK – Usul bagi melucut kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dari DAP, Dr. Ting Tiong Choon diluluskan dalam persidangan hari Kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 susulan selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh (BN-Bawang Assan) membuat usul atas dasar wakil DAP-Pujut memiliki kewarganegaraan Australia.
Memetik sumber di Borneo Post, Speaker DUN iaitu Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar menyatakan sebanyak 17 ADUN menyokong manakala 10 menentang usul tersebut.
“Saya mengisytiharkan bahawa usul kementerian iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh diluluskan.
“Justeru itu, ADUN Pujut dilucut kelayakan mengikut Artikel 17(1)(g) Perlembagaan Negeri sebagai ahli dewan dan tidak lagi menjadi wakil rakyat,” katanya ketika mengumumkan keputusan usul itu sebelum menangguhkan persidangan hingga pukul 2.30 petang ini.
Ting Tiong Choon dikatakan mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia setelah lama bermastautin di sana. Calon tidak dibenarkan bertanding jika memiliki status kewarganegaraan asing
Ini bermakna pilihan raya kecil bagi ADUN Pujut bakal diadakan tidak lama lagi susulan daripada pemecatan keanggotaan Ting Tiong Choon dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.