Rakyat Sabah Dinasihatkan Agar Tidak Adakan Sebarang Perjumpaan Sosial Semasa Sambutan Krismas...

Rakyat Sabah Dinasihatkan Agar Tidak Adakan Sebarang Perjumpaan Sosial Semasa Sambutan Krismas Ini – Masidi

0
SHARE
Datuk Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat dan penganut agama Kristian di Sabah dinasihatkan agar tidak mengadakan dan mengelakkan sebarang perjumpaan sosial semasa sambutan Krismas, demikian menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau yang juga Jurucakap COVID-19 negeri Sabah berkata, prosedur operasi standard (SOP) telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai garis panduan perayaan Krismas dan acara keagamaan di gereja.

Katanya lagi, perjumpaan sosial mendedahkan msyarakat kepada penularan jangkitan COVID-19.

“Selagi boleh berpada-pada dalam setiap perayaan. Bukan sekadar perayaan Krismas tapi juga, perayaan Tahun Baharu…

“Saya nasihatkan cuba elakkan perjumpaan sosial. Jangan disebabkan 15 minit punya kegembiraan, kita berdepan 15 hari penderitaan,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa COVID-19 negeri Sabah, di sini malam tadi.

Kerajaan pada dasarnya telah mempersetujui cadangan mengenai SOP berhubung perayaan Krismas yang akan menjelang menerusi Mesyuarat Sidang Khas MKN yang telah diadakan pada 14 Disember.

Kementerian Perpaduan Negara turut telah membentangkan secara khusus mengenai SOP ini bagi sebelum, semasa dan selepas perayaan Krismas termasuk aktiviti kunjung-mengunjung.

Oleh itu, perincian lengkap mengenai SOP tersebut akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat menerusi web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Masidi menasihatkan rakyat Sabah agar mengadakan sambutan dalam kalangan ahli keluarga sahaja. Jangan menjemput orang luar yang mendedahkan diri anda dengan jangkitan Covid-19.

“Saat kita menjemput orang luar berkunjung ke rumah kita mendedahkan diri dan keluarga kita untuk dijangkiti,” jelasnya lagi.