133 KIR Di Putatan, Penampang Terjejas Banjir Terima Sumbangan Dari MUIS Dan...

133 KIR Di Putatan, Penampang Terjejas Banjir Terima Sumbangan Dari MUIS Dan PBNS

0
SHARE

PUTATAN: Seramai 133 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di dua daerah iaitu Putatan dan Penampang menerima sumbangan khas bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Sumbangan yang disalurkan menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) itu diserahkan sendiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Penyerahan yang diadakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan itu adalah melibatkan seramai 33 KIR dan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang pula melibatkan seramai 100 KIR.

Arifin ketika ditemui berkata, setiap KIR terlibat akan menerima sumbangan wang tunai masing-masing daripada MUIS dan PBNS.

“Malam ini saya bersama dengan MUIS dan PBNS mengadakan ziarah ke PPS di Putatan. Seperti mana kita maklum, memang pengerusi bencana daerah sentiasa siap siaga menghadapi situasi bencana khususnya banjir.

“Bagi pihak MUIS, kita ada menyumbang untuk mengurangkan sedikit bebanan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir. Daripada MUIS ada RM500 satu keluarga dan PBNS RM200 satu keluarga,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPS Dewan Sri Putatan di sini, semalam.

Tambah Arifin, selain bantuan kewangan, pihak MUIS dan PBNS juga akan turut menyediakan bantuan makanan termasuk bakul makanan.

“Bantuan ini bukan hanya pada kali ini namun bantuan juga disampaikan kepada mangsa kebakaran atau bencana lain. MUIS daerah juga turut mengenal pasti mangsa terlibat dan membantu di seluruh daerah

“Kita ada bahagian zakat dan MUIS serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bergabung untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam banjir dan kebakaran serta musibah lain, MUIS sedia membantu,” jelasnya.