ADUN Lumadan Sarankan Semua Warga Beaufort Daftar Untuk Menerima Vaksin COVID-19

ADUN Lumadan Sarankan Semua Warga Beaufort Daftar Untuk Menerima Vaksin COVID-19

0
SHARE
Hj Ruslan (dua, kiri) bersama penerima vaksinasi di Dewan Pak Musa, Beaufort...

BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Hj. Ruslan Muharam melawat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan anjuran Pejabat Kesihatan di Dewan Pak Musa, Beaufort.

Dalam lawatan berkenaan Hj. Ruslan berkesempatan bertemu dengan petugas barisan hadapan dan juga mereka yang menerima suntikan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah menerima vaksinasi.”

Katanya, seramai 8,800 orang telah menerima vaksinasi sejak program ini bermula sejak April pada tahun ini.

“Pada hari ini, seramai 30 petugas barisan hadapan (frontliners) yang terlibat menjayakan Program Imunisasi ini yang dibantu oleh Pejabat Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Lumadan. Ia akan berlangsung sehingga semua yang mendaftar sebagai penerima vaksin selesai menerima suntikan,” jelas Hj Ruslan yang merupakan Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd, ketika dihubungi media.

“Pusat Vaksinasi serentak diadakan di tiga lokasi berasingan iaitu, di Dewan Pak Musa yang boleh menerima kapasiti seramai 500 orang, Klinik Kesihatan Weston dan Klinik Padas Damit masing-masing 35 orang,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Hj. Ruslan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan hadapan yang menjalankan tugas tanpa mengira penat lelah demi menunaikan kewajipan kepada rakyat.

Hj. Ruslan menyarankan agar semua rakyat di daerah Beaufort mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksinasi.

Selepas itu, beliau juga menyampaikan bakul makanan kepada golongan asnaf dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Sabah (YADIM), Beaufort.