
KOTA KINABALU, SABAH – Nabi Muhammad SAW adalah insan yang menjadi sumber inspirasi terunggul bagi mencapai kecemerlangan ummah.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika menyampaikan Perutusannya Pelancaran Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1445H/2024M berkata umat Islam perlu menghayati dan mengambil iktibar daripada sirah pengorbanan, jasa dan perjuangannya.
“Rasulullah SAW adalah Uswatun Hasanah yakni teladan yang baik serta qudwah hasanah iaitu ikutan dan kepemimpinan terbaik bagi seluruh umat manusia dalam melakukan transformasi yang besar.
“Ia merangkumi aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi semua generasi.
“Baginda SAW adalah sumber inspirasi terunggul bagi mencapai kecemerlangan dan ini mengisyaratkan betapa perlunya kita di zaman mutakhir ini kembali menghayati dan mengambil iktibar daripada sirah pengorbanan, jasa dan perjuangannya,” ujarnya.
Dalam perutusannya, Tun Juhar mengajak seluruh umat Islam supaya terus mencontohi akhlak mulia Baginda SAW termasuk memelihara diri daripada kemungkaran,
“Tarikh 12 Rabiul Awal yang bersejarah ini, sekali lagi menggamit kita untuk memperingati dan meraikan hari ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad SAW, yang diutus Allah sebagai pembawa Rahmat kepada seluruh alam.
“Maka sambutan Maulidur Rasul yang diadakan ini, ingin mengajak seluruh umat Islam supaya terus mencontohi akhlak Rasulullah SAW, dengan mematuhi segala pesan dan sunnah Baginda agar berupaya memelihara diri daripada perkara-perkara yang mungkar.
“Dengan tatacara hidup yang sedemikian, kita tidak mungkin kenal putus asa dalam merintis kejayaan, meski pernah menghadapi kegagalan berulang kali.
“Ini kerana sudah menjadi peraturan Ilahi dan dibuktikan oleh sejarah bahawa tidak ada satu pun bangsa yang berjaya tanpa berhadapan halangan mahupun rintangan.
“Malah, Rasulullah SAW sendiri berhadapan dengan pelbagai rintangan, termasuklah dipulaukan sehingga mahu dibunuh oleh kafir Quraisy.
“Selepas melepasi semua rintangan, barulah baginda memiliki pemerintahan sendiri di Madinah, seterusnya menebar kegemilangan dalam sejarah perjuangan Islam,” jelas beliau.
Justeru kata Tun Juhar, umat Islam harus kekal positif dan tidak berputus asa ketika mengusahakan sesuatu kebaikan.
“Kegagalan bukan bermakna gagal sepenuhnya. Ia bermakna kita belum lagi berjaya. Kegagalan juga bukan bermakna kita tidak mencapai apa-apa.
“la mengisyaratkan bahawa kita perlu belajar banyak perkara untuk berjaya dan kegagalan bukan bermakna kita perlu menyerah kalah.
“ia bermakna kita mesti berusaha lebih kuat lagi dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya, Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.
“Begitulah hakikatnya, kita telah dikurniakan akal dan juga tulang empat kerat. Maka dengan kudrat yang dikurniakan itu, kita perlu bijak menyusun dan merencana kehidupan yang holistik demi mendapat redha Allah SWT,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Tun Juhar turut mengingatkan umat Islam mengenai tinta emas sejarah perjuangan Rasulullah SAW yang sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran.
“Sayangnya, terdapat juga masyarakat kita yang tidak melihat sejarah ini, untuk dijadikan teladan hidup.
“Malah, kebanyakan kita lebih melihat ia sebagai dokumen sejarah semata-mata padahal, ia boleh dijadikan panduan atau pedoman dalam merungkaikan pelbagai masalah yang kita hadapi pada hari ini,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dekat sini, semalam.
Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Sabah dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam yang melibatkan perarakan 98 kontinjen dengan jumlah peserta mencecah 8,000 orang.
Perarakan kontinjen bermula di Dewan Masyarakat melalui Jalan KK Bypass dan Jalan Tun Fuad Stephens pada jam 8.00 pagi menuju SICC dengan jarak lebih kurang 1.6. — JABATAN PENERANGAN SABAH