MUIS Rekod Pungutan Zakat RM133 Juta Tahun Lalu

MUIS Rekod Pungutan Zakat RM133 Juta Tahun Lalu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merekodkan pungutan zakat sebanyak RM133.4 juta dan agihan berjumlah RM122 juta pada tahun lalu.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Husin berkata pungutan zakat terbabit merupakan rekod baharu pencapaian pengurusan pungutan dan agihan zakat Sabah kerana telah melebihi daripada unjuran yang dijangkakan iaitu sebanyak RM126 juta.

“Sepanjang tahun 2022 MUIS menerusi bahagian dibawahnya giat menggandakan aktiviti ke arah memartabatkan syiar
Islam, memperkasa ekonomi serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam khususnya di Sabah dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis iftar, penyampaian bantuan kepada fakir miskin dan mualaf serta bakul makanan kepada asnaf daerah Putatan di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Yahya turut berkata pihaknya berjaya mengekalkan pensijilan ISO 9001:2015 yang diberikan pada tahun lalu oleh Juruaudit Bertauliah Antarabangsa SGS (Malaysia) Sdn Bhd.

Katanya, MUIS juga memperolehi sijil bersih daripada Jabatan Audit Negara (JAN) untuk tiga tahun berturut-turut bagi prestasi penyata kewangan 2021, 2020 dan 2019.

“MUIS melalui halal hub juga sedang dalam usaha membangunkan makmal halal
dan ekosistem halal maritim di negeri Sabah,” katanya.