Solat Tarawih Ganggu Tidur, Lelaki Tendang Pintu Surau Sehingga Pecah

Solat Tarawih Ganggu Tidur, Lelaki Tendang Pintu Surau Sehingga Pecah

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

KAJANG – Seorang lelaki berdepan hukuman setahun dalam penjara dan denda sehingga RM50,000 kerana menendang pintu surau sebuah flat di kawasan Sg. Chua, sini.

Tindakan melampau suspek berusia 35 tahun itu hanya kerana jemaah yang menunaikan solat tarawih menggunakan alat pembesar suara menggangu tidurnya.

Beberapa rakaman insiden pada Ahad itu tular di laman media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kes berlaku pada sekitar jam 9.25 malam dan suspek ditangkap keesokan hari.

“Seorang lagi suspek lelaki berusia 46 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

“Kedua-dua suspek telah memberikan kerjasama kepada pihak polis berkaitan isu selisih faham tersebut,” katanya.

Mohd Zaid berkata saksi-saksi lain turut dipanggil memberikan keterangan termasuk individu yang menyebarkan video yang tular di media sosial berkaitan kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian media sosial bagi penyebaran video tersebut dengan niat tidak baik,” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman satu tahun penjara dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan.

“Kes ini telah diambil tindakan oleh pihak polis bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat serta penduduk setempat,” tambahnya.