KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi jualan dan pelaburan sebanyak RM80 juta menerusi Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu RM50 juta disasarkan untuk usahawan francais dan RM30 juta untuk jualan produk industri halal.
“Sebanyak 26 syarikat halal dan 14 syarikat francais jenama tempatan menyertai MIHAS 2024, yang berlangsung hari ini (l7 Sept) sehingga 20 September ini.
“Penyertaan KUSKOP bersama usahawan-usahawan tempatan di MIHAS 2024 adalah bukti komitmen Kerajaan dalam mempromosikan usahawan tempatan ke peringkat global.
“Kami yakin peluang ini akan memberi manfaat besar kepada usahawan Malaysia untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka, terutamanya melalui peningkatan kerjasama strategik dengan para pelabur antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Pavilion KUSKOP sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Ewon turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) empat syarikat halal tempatan bersama rakan niaga dari dalam dan luar negara.
Syarikat-syarikat itu ialah R FEX Global Trade Sdn. Bhd. dengan Nasya International Healthcare Limited (Nigeria), Syarikat Hijrah Nature Herbs (M) Sdn. Bhd. dengan Hilal Group Enterprise Pte Ltd (Singapura) dan Syarikat Daro Resources Sdn.Bhd (Selangor) serta HTE Resources & Marketing Sdn.Bhd (Perak).
“Mudah-mudahan dalam tempoh tiga hari pameran MIHAS, ada lagi syarikat-syarikat lain yang akan menandatangani MoU bagi meningkatkan lagi potensi perniagaan syarikat masing-masing,“ katanya.
Selain itu, Ewon juga melancarkan dua produk makanan bagi pasaran domestik dan antarabangsa.
“Produk makanan itu ialah Rendang Daging NEKNA keluaran syarikat Sumatraa Industries Sdn. Bhd. dan Produk Tepung Pra Campur Apam Balik iaitu produk Syarikat Kuhot Holdings (M) Sdn. Bhd,“ katanya.
Ewon berharap, penyertaan usahawan tempatan dalam pameran itu akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak peluang meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Saya berharap usahawan-usahawan kita dapat mengambil peluang dalam pameran seperti MIHAS bukan sahaja untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa tetapi untuk membina rangkaian yang lebih kukuh dan strategik dengan pelabur serta rakan niaga dari seluruh dunia.
“Ini penting bagi memastikan para usahawan kita terus maju dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompetitif,” katanya.
MIHAS 2024 yang berlangsung dari 17 September (hari ini) hingga 20 September ini dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).