KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah semalam menerima lima Unit Kenderaan Operasi (Penguatkuasa) bagi memantapkan lagi aspek penguatkuasaan.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah di Ibu Pejabat JPJ, Sabah bersempena dengan lawatan kerjanya ke Sabah.
Tiga unit tersebut akan ditempatkan di bahagian Ibu pejabat JPJ Sabah manakala JPJ Cawangan Tawau dan Sandakan masing-masing menerima satu unit.
Hasbi bersama pengurusan tertinggi JPJ Sabah turut menghadiri sesi townhall tertutup di Bilik Mesyuarat Rafflesia sebelum menyantuni warga jabatan penguatkuasaan berkenaan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Jana Santhiran Muniayan, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sabah, Harris Ali. — JABATAN PENERANGAN SABAH