KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa kerjasama penuh pejabat daerah di seluruh Sabah amat penting bagi memastikan kesemua 46 projek Tamu Desa di negeri ini dapat disiapkan sepenuhnya dalam tahun 2025.
Beliau berkata, prestasi pelaksanaan projek mengikut jadual akan menjadi faktor utama dalam menentukan kelulusan peruntukan baharu pada tahun hadapan bagi melaksanakan projek Tamu Desa tambahan di negeri ini.
“Saya sangat mengharapkan semua 46 projek Tamu Desa di Sabah yang telah diluluskan bagi tahun ini dapat disiapkan selewat-lewatnya Disember ini. KUSKOP telah menerima banyak permohonan baharu dan kita bercadang menggunakan peruntukan tahun hadapan untuk projek-projek baharu tersebut, bergantung kepada prestasi pelaksanaan tahun ini,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Projek Tamu Desa Sabah 2025 di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, bersama pegawai kanan kementerian, wakil agensi pelaksana, serta pegawai-pegawai daerah dari seluruh Sabah.
Menurut Ewon, kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia telah meluluskan RM10 juta peruntukan tambahan pada 23 September 2025 bagi pelaksanaan Program Penyelenggaraan Gerai-Gerai Kecil (Tamu MADANI) di Sabah, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program MADANI Rakyat Sabah pada Mei lalu.
“KUSKOP disaran mengoptimumkan baki peruntukan sedia ada serta mempercepat kerja penyelenggaraan dan pembangunan Tamu MADANI agar semuanya dapat disempurnakan dalam tahun ini,” katanya lagi.
Sehingga kini, sebanyak 46 tapak telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa (Tamu MADANI) di Sabah bagi tahun 2025.
Surat pelantikan sebagai Pegawai Penguasa Projek telah diserahkan kepada pegawai daerah yang menjadi agensi pelaksana bagi 39 projek, manakala lima lagi surat pelantikan diserahkan semasa mesyuarat berkenaan untuk projek di Ranau, Putatan, Sandakan, Keningau dan Telupid.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai daerah dan ahli jawatankuasa yang hadir meskipun mesyuarat diadakan pada waktu malam, menggambarkan komitmen tinggi dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek berkenaan.
“Komitmen ini membuktikan kesungguhan kita untuk menjayakan pelaksanaan projek Tamu Desa di seluruh Sabah, sekali gus memastikan rakyat luar bandar mendapat manfaat ekonomi yang lebih luas dan berdaya saing,” katanya.






